Sejarah Penubuhan Pusat Alumni
Secara umumnya, perkataan alumni merujuk kepada seseorang individu dengan membawa maksud bahawa beliau adalah bekas pelajar atau pernah belajar di sesebuah institusi yang dirujuk sebagai alma mater. Alumni UMT bermaksud mereka yang pernah belajar di Universiti Malaysia Terengganu dan Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (KUSTEM) iaitu graduan dari tahun 2003. Sehubungan dengan itu, graduan yang pernah belajar di Kampus UMT di bawah pengurusan Universiti Putra/Pertanian Malaysia mulai 1983 – 2002 akan dilantik sebagai Ahli Alumni Bersekutu UMT (AAB). Ini adalah kerana secara rasminya mereka telah pun diiktirafkan sebagai Ahli Alumini UPM.
Alumni merupakan antara kelompok utama yang berpotensi menjadi penyumbang kepada pembangunan sesebuah universiti dan organisasi, malah peranan Alumni sangat penting bagi universiti-universiti terkemuka seperti Harvard University, Cornell University dan Stanford University dalam pembangunan dan pemerkasaan universiti mereka.
Sehingga ke hari ini, UMT telah mempunyai seramai 32,996 orang Alumni. Kelompok besar ini adalah aset yang sangat berharga kepada universiti untuk bersama-sama merencana dan memacu perkembangan Universiti.
- Melalui Pelan Transformasi UMT telah digariskan objektif strategiknya adalah untuk pemerkasaan Alumni Unggul. Pemerkasaan ini melibatkan beberapa kategori alumni seperti Bakal Alumni, Alumni Muda dan Alumni Matang. Di dalam menjayakan rencana tersebut, pembudayaan Alumni perlu berlaku di dalam kampus. Pembudayaan ini boleh dikategorikan kepada dua jenis iaitu:
- Budaya Memberi : Pembudayaan alumni melalui kaedah mendekati mereka dengan matlamat agar mereka mendapat kenangan indah semasa belajar di UMT.
- Budaya Menerima : Membudayakan corak pemikiran alumni dalam menyumbang kembali dalam semua bentuk mahupun wang ringgit dan idea kepada UMT.
Justifikasi Penubuhan Pusat
Sejarah pembelajaran bermula dari tahun 1979 yang dikenali dengan Pusat Perikanan dan Sains Samudera, kemudian diberi kuasa autonomi sebagai Kolej Universiti Terengganu pada tahun 2001 dan seterusnya berkembang dan dijenamakan semula kepada UMT pada tahun 2007.
Sehingga kini, jumlah alumni kian meningkat dan akan bertambah dari tahun ke tahun. Justeru, sudah tiba masanya untuk mewujudkan sebuah Pusat yang dapat menguruskan organisasi Alumni dengan yang lebih mantap dan terancang.
Strategi menyumbang bakti telah dimulai sejak awal dahulu dengan mengadakan aktiviti-aktiviti seperti ’Finishing School’, ’Mentoring Programme’, Jejak Alumni, Penerbitan Alumni Success dan aktiviti-aktiviti sosial seperti kejohanan bowling dan coffe break bersama alumni.
Jaringan hubungan ini akan diperluaskan lagi kepada Alumni antarabangsa dan dirasakan dengan cara sebegini menjadi elemen penting bagi alumni merasa kecaknaan dan sayang kepada UMT dan kembali berbakti dan menyumbang untuk pembangunan Universiti. Melalui jaringan dan hubungan ini, mendekatkan Pusat dengan Alumni itu sendiri. Di samping itu, pengwujudan pangkalan data alumni membolehkan Pusat menjejaki Alumni itu sendiri.
Pada masa sekarang, sumber tabung hanya dari bayaran yuran alumni sahaja. Sebelum tahun 2016, yuran alumni untuk pra siswazah adalah sebanyak RM50.00 yang dibayar semasa konvokesyen, manakala bagi pasca siswazah yuran alumni adalah RM100.00 dan dibayar semasa pendaftaran pelajar. Oleh itu, pada tahun 2016, telah diselaraskan kutipan bayaran yuran alumni sebanyak RM100.00 untuk pra dan pasca siswazah dan dibayar semasa pendaftaran pelajar dan dimasukkan ke dalam Tabung Amanah Alumni (62929).
Pusat Alumni akan memainkan peranan mengukuhkan jalinan kerjasama dengan syarikat-syarikat yang ada alumni UMT. Kerjasama ini dalam bentuk penawaran tempat latihan industri kepada pelajar UMT, menawarkan peluang kerja kepada alumni UMT dan juga menghulurkan sumbangan kewangan dan kepakaran kepada alma mater.
Struktur organisasi pusat yang lebih khusus memudahkan usaha menjejaki alumni di luar sana kembali menyumbang kepakaran, idea, kewangan dan kasih sayang kepada tempat belajar mereka. Sumbangan alumni boleh diperluaskan lagi untuk endowmen, wakaf dan sebagainya.
Penubuhan Pusat Alumni juga dapat melaksanakan program lanjutan kepada alumni UMT. Ini bermakna, kecaknaan UMT kepada alumni sentiasa menjadi keutamaan. Pelbagai program akan dilaksanakan bagi mengeratkan lagi hubungan dan rasa kecintaan kepada alma mater.